Secara umumnya sikap cemburu ada pada semua manusia dan ia lebih ketara melanda pasangan yang sudah berkahwin dan yang bercinta. Cemburu jika dilihat dari sudut positif ia membangun dan menyuburkan sesuatu perhubungan, tetapi apabila ia dikaji daripada aspek negatif banyak kemusnahan akan terjadi kerana manusia tidak dapat mengawal emosi marah, dendam dan sakit hati.
Namun, sejak kebelakangan ini melalui kes-kes yang dilaporkan di media massa membabitkan kes cemburu lebih cenderung ke arah negatif dan memerlukan perhatian serius. Dalam kes berkenaan cemburu sering mengundang padah, menyebabkan perbalahan dalam rumah tangga, perceraian dan paling menakutkan jenayah seperti penderaan, keganasan fizikal, pembunuhan dan jenayah lain yang berkait rapat dengan persoalan cemburu dan sakit hati terhadap pasangan.
Lebih lima tahun lalu kes seorang isteri dari Kelantan, Siti Khalifah Sulung, 53, yang menyimbah asid ke muka suaminya Tuan Azman Tuan Ludin, 32, sehingga cacat kerana mempunyai hubungan dengan wanita lain adalah juga berpunca daripada faktor cemburu yang tidak dapat dikawal. Rasa tidak puas hati Siti Khalifah yang berasa suaminya mungkir janji pada cinta mereka membuatkan dia tergamak mencacatkan wajah suami. Akhirnya wanita yang membuat hubungan dengan suaminya meninggalkan Tuan Azman kerana kecacatan seumur hidup yang dialaminya.
Akibat perbuatannya, Siti Khalifah merengkok dalam penjara selama lima tahun kerana hilang pertimbangan dalam mempertahankan kasih yang telah dikongsinya bersama Tuan Azman selama 12 tahun. Berita gempar yang mendapat liputan meluas media massa itu setidak-tidaknya membuka mata suami yang cuba berpoligami tanpa pengetahuan isteri atau tidak menghormati hak isteri serta memungkiri perjanjian yang mereka buat sewaktu mula-mula berkahwin dulu. Kisah ini agak trajis kerana cinta membuat manusia hilang pertimbangan dan dengan perasaan kasih yang terlampau serta cemburu mendorong manusia membuat tindakan di luar kewarasan.
Jika diteliti banyak teladan yang diperoleh masyarakat kerana sikap segelintir lelaki yang sering memungkiri janji apabila sudah dapat apa yang diidamkan atau apabila isteri mula melalui fasa ‘berumur’, suami sanggup mengecewakan isteri sehingga mengundang kemarahan tidak terkawal. Alasan lelaki berkahwin lagi atau mempunyai wanita lain kadangkala amat mengecewakan dan sukar diterima wanita. Namun, kerana ia dibenarkan dalam agama, isteri ada kalanya terpaksa akur walaupun di dalam hati memberontak.
Sememangnya lelaki bertuah kerana mereka boleh berkahwin empat (bagi lelaki Islam). Namun keadilan dan kebijaksanaan melayari dua bahtera bukan perkara mudah dilaksanakan. Hati isteri pertama perlu dijaga dan kadangkala layanan suami yang berat sebelah boleh membuatkan isteri berasa rendah diri dan terhina. Ini adalah antara faktor menyebabkan perlakuan tidak rasional dilakukan isteri. Selain kisah dalam negeri, kes Loretta Bobbit dari Britain juga tidak kurang hebatnya membuatkan masyarakat tidak lagi memandang wanita sebagai spesies lemah dan boleh dipermainkan.
Dalam kes itu, Loretta nekad memotong kemaluan suaminya yang curang. Ini juga gara-gara sakit hati dan cemburu yang tidak dapat dikawal. Berita disiarkan media di seluruh dunia itu turut menggemparkan lelaki dan menjadi teladan buat mereka yang cuba berlaku curang.
Kedua-dua kes di atas membabitkan wanita dan perlakuan tega (sampai hati) mereka menyeksa suami kerana terlalu sakit hati dan cemburu memberikan satu perspektif baru dalam perkahwinan serta membuka mata pihak tertentu mengenai kesan dan akibat cemburu. Apabila kes seumpama ini semakin banyak berlaku, isu cemburu bukan lagi sesuatu yang remeh dan tergolong dalam masalah keluarga, malah dengan beberapa siri kejadian dalam konflik rumah tangga yang membabitkan perlakuan ganas serta jenayah ia dipandang serius oleh kaunselor perkahwinan dan pihak berkaitan.
Kajian psikologi ada menyebut wanita lebih kuat cemburu daripada lelaki kerana sikap wanita inginkan belaian dan sentiasa bimbang kasih sayang dan perhatian yang mereka peroleh dikongsi dengan orang lain, mereka juga takut kehilangan pasangan. Di negara kita ada kajian yang menyatakan 99 peratus wanita tidak setuju bermadu kerana bimbang suami tidak dapat berlaku adil selain tekanan mental dan emosi yang terpaksa mereka lalui.
Apakah cemburu? Cemburu dapat didefinisikan sebagai ketakutan berpindahnya rasa kasih sayang terhadap orang lain seperti suami isteri dan kekasih. Pakar motivasi, Dr Rubiah K Hamzah berkata, wanita biasanya cemburu apabila mereka mendapati ada saingan untuk mengambil hak mereka umpamanya suami atau kekasih. Mereka tidak rela berkongsi kasih, ranjang dan segala yang pernah diperoleh bersama pasangan mereka. Mereka juga berasa ada kekurangan dalam diri sehingga suami atau pasangan mencari orang lain. Atas sebab terancam dengan faktor ini, wanita memberontak dan melakukan tindakan di luar rasional.
Kebimbangan dan ketakutan suami tidak berlaku adil, terpaksa berkongsi ranjang dan kasih sayang dengan wanita lain menyebabkan wanita cemburu dan ada kalanya bertindak di luar batasan. Bagi menangani masalah ini, Dr Rubiah menasihatkan wanita supaya lebih positif apabila berhadapan masalah cemburu dan sakit hati ekoran pasangan mereka mempunyai orang lain. Jangan melihatnya sebagai negatif sebaliknya hadapi semua ini dengan sabar dan tabah. Mereka harus bersaing dengan cara sihat bukan melakukan sesuatu yang boleh memberi impak buruk kepada mana-mana pihak.
Jika ada suami atau pasangan tidak bertanggungjawab wanita perlu mempersiapkan diri dengan kekuatan mental dan fizikal serta boleh berdikari dengan adanya pasangan atau tidak. “Sekarang mungkin berpisah hidup, tapi suatu masa nanti dia akan pergi juga. Suami bukan hak mutlak isteri dan akan hidup selamanya dengan kita.
Sikap terlalu sayang wanita pada suami dan takut kehilangan pasangan menyebabkan mereka ada kalanya tidak dapat berfikiran rasional dan tidak dapat melihat potensi serta kekuatan yang mereka ada,” katanya. Dr Robiah juga menjelaskan akibat cemburu juga wanita tidak dapat menjalani hidup dengan tenang. Perlakuan dan sikap sakit hati kerana cemburu mengundang kemusnahan hidup dan merobek kebahagiaan rumah tangga.
Akhirnya menjadi mangsa adalah anak-anak yang terbiar kerana wanita terlalu melayan perasaan sehingga hilang kekuatan dan fokus dalam mengharungi kehidupan rumah tangga dan akhirnya mengabaikan tanggungjawab dan amanah menjaga anak-anak. Mereka harus belajar mengawal emosi dan membuat penyerahan diri kepada Allah. Kehidupan harus diteruskan walau apa terjadi.
Dr Rubiah berkata, wanita harus berdikari dan kurangkan pergantungan pada suami. Jika mereka kuat dan dapat menjalankan kehidupan dengan lebih positif insya-Allah masalah cemburu dan sakit hati tidak timbul dan apabila mereka reda, hidup akan lebih tenang dan diredai Allah.
Natijahnya, dalam hal ini wanita perlu bijak menangani dan mengawal perasaan cemburu. Jangan sampai cemburu memusnahkan hidup dan masa depan diri dan keluarga. Berfikiran positif, serahkan segalanya kepada Allah kerana banyak hikmah yang terkandung dalam setiap dugaan yang Allah berikan. Justru, tidak salah cemburu jika bertempat, bagaimanapun jangan pula terlalu cemburu buta dan selalu bersangka buruk terhadap suami, kerana sifat cemburu ibarat api dalam sekam yang memakan diri.
Jika kita bersangka buruk pada suami atau pasangan kita dengan membuat andaian mereka ada wanita lain mungkin ia akan menjadi satu doa yang suatu hari nanti tidak mustahil menjadi kenyataan. Memang menjadi lumrah sejak dulu musuh wanita adalah wanita sendiri.
Bagi wanita, jika mereka ingin berkongsi kasih dengan wanita lain, hormati hati wanita yang pernah bertakhta di hati suami mereka suatu masa dulu.
Jangan membina kebahagiaan di atas penderitaan dan air mata wanita lain. Ingatlah jika anda pernah mengecewakan seorang wanita kerana persaingan mendapatkan suaminya tidak mustahil suatu hari nanti anda juga akan menerima nasib sama. Kehidupan ini ibarat roda, sekali di atas sekali di bawah, kita akan rasa juga apa orang lain pernah rasa.