Adakah si dia layak dapat peluang kedua? Persoalan ini seringkali bermain di fikiran mereka yang pernah bercinta dahulu lalu ia putus di tengah jalan. Bukan mudah menerima kembali seseorang yang pernah memiliki hati korang dan ia mengecewakan pada suatu masa dahulu.
Jadi banyak perkara perlu dititik beratkan sebelum korang buat keputusan untuk menerima kembali kehadiran si dia dalam hidup korang. Andaikan saja sekarang ini korang masih single dan tiba tiba datang kembali kekasih lama memujuk dan meminta peluang kedua daripada korang.
Apa yang korang akan lakukan? Pastinya segala kekecewaan dan kenangan kenangan lama muncul kembali dalam ingatan korang. Apatah lagi jika di saat ini korang masih mencintai dia, pasti banyak yang akan bermain di fikiran kan?
Tanggapan tanggapan negatif mula muncul. Sebanyak mana pun kenangan manis korang dulu, pasti yang akan korang selalu ingat adalah kenangan pahit yang menyebabkan perpisahan sewaktu dahulu. Segala gala kata kata kasar dan tuduhan yang dilempar sama ada daripada pihak korang atau daripada pihak si dia pasti akan kembali di ingatan semula.
Dalam hal ini apa yang korang perlu buat adalah pertimbangkan betul betul. Bagaimana? Dengan cara melihat kesungguhan si dia dalam memujuk korang semula. Korang sudah pernah bersama suatu masa dahulu, pasti korang tahu akan sifat sifatnya kan? Renung kembali saat korang mula mula jatuh cinta dengan si dia.
Jangan hanya pandang yang buruk sahaja. Perhatikan betul betul usahanya dalam meminta peluang untuk bersama korang semula. Sudah tentulah, jangan menerima terlalu cepat kalau pun korang masih mencintainya. Uji si dia dulu dengan penolakan korang. Lihat bagaimana dia terus berusaha apabila korang menolak untuk bersamanya kembali. Tanya juga pendapat rakan rakan baik korang. Apakah pandangan mereka mengenai hal ini.
Jangan terburu buru membuat keputusan. Tetapi jangan pula melayan si dia seperti sampah. Itu adalah perlakuan yang sangat tidak baik. Walau sesakit hati mana pun korang pada bekas kekasih korang, janganlah layan dia dengan teruk. Jika korang layan dia dengan teruk, ia akan menunjukkan kelemahan korang.
Tiada salahnya melayan bekas dengan baik seperti seorang kawan lama jika sekarang ini korang masih single la. Kalau sekarang ni korang dah ada pasangan, jangan gatal gatal nak layan bekas kekasih korang tu pula. Hehe. Hormati lah pasangan korang yang sedia ada ini. Bekas kekasih adalah suatu sejarah silam buat korang.
Berbalik kepada tajuk asal, iaitu patutkah korang beri peluang kedua buat si dia di mana keadaannya sekarang adalah korang masih single. Patut atau tidak itu korang kena fikirkan betul betul berpandukan tips yang akan diberikan. Tips yang diberikan hanya mampu untuk menolong korang untuk menilai mana satu yang betul.
Di akhir nanti, keputusan itu korang yang harus buat sendiri. Jangan buat keputusan menerima si dia kembali kerana terpaksa atau kerana ada niat lain seperti mahu balas dendam. Jika korang buat keputusan mahu terima si dia kembali, terimalah dia kerana keikhlasan hati dan lupakanlah semua kenangan pahit yang pernah berlaku suatu ketika dahulu. Bina kembali percintaan dengan impian dan matlamat yang baru.
Orang yang memaafkan adalah orang yang mempunyai hati yang sangat kuat. Korang tidak akan rugi jika memberikan peluang kedua buat seseorang yang benar benar ikhlas menyayangi korang. Percayalah.
Antara perkara perkara yang perlu korang pertimbangkan sebelum membuat keputusan menerima kembali bekas kekasih dalam hidup adalah:-
Lihat usaha dia dalam memujuk
Lihat usaha dia dalam meminta peluang bersama korang kembali. Jika dia sambil lewa dan seperti berniat ada udang di sebalik batu, kirim salah lah nampaknya. Hehe. Tetapi kalau dia berusaha keras meminta maaf dan melakukan apa sahaja untuk bersama korang kembali, korang perlu pertimbangkan.Jangan lah menjadi seseorang yang terlalu keras hati sehingga bulat bulat menolak permintaannya secara terburu buru. Apa apa perkara pun dalam dunia ini memerlukan pertimbangan. Korang juga perlu uji si dia, kalau kali pertama dia datang kepada korang dan meminta peluang, jangan lah terus terima dan jangan pula terus menolak. Cuma katakan pada si dia bahawa korang belum bersedia. Kemudian lihat apa yang dilakukannya selepas itu. Sama ada dia terus berusaha atau putus asa begitu sahaja.
Cara memujuk ada banyak. Jika korang lihat dia memujuk secara baik dan tidak memaksa, itu adalah satu tanda yang baik. Tetapi kalau dia memujuk dengan kekerasan atau ugutan, lupakan saja awal awal. Nampak sangat dia mempunyai tujuan tertentu untuk berbaik baik semula dengan korang.
Hati hati dengan helahnya juga. Jangan terlalu cepat percaya dengan apa yang dia katakana. Senang cerita, jika apa yang dikatakannya itu ikhlas, hati korang pasti akan dapat rasa. Korang kenal dia kan? Korang pasti dah tahu apa helah yang selalu dia gunakan dan sifat sifatnya yang lain.
Mungkin juga dia akan menggunakan rakan rakannya untuk memujuk korang. Ini satu helah yang selalu diguna pakai sebenarnya. Mereka menggunakan rakan rakannya untuk mengusha atau mengintip khabar daripada korang. Kalau terjadi seperti ini, korang dah boleh agak sebenarnya.
Selalunya rakan rakannya akan kerap bertanya soalan soalan tentang bekas kekasih korang. Atau ada yang tiba tiba mula menyuruh korang berbaik dengan bekas kekasih secara terang. Dah jelas lah maksudnya di situ, bekas kekasih korang telah meminta bantuan rakan rakannya untuk memikat korang kembali. Nak terima atau tidak? Tunggu dulu. Banyak lagi faktor penting yang korang perlu selidik betul betul.
Selidik latar belakang si dia
Dulu dan sekarang pasti sangat jauh bezanya. Semasa dalam tempoh perpisahan korang macam macam boleh berlaku. Itu lah sebabnya korang perlu selidik latar belakangnya untuk masa sekarang.Misalnya, adakah sekarang dia mempunyai kekasih, ini sangat penting. Kalau terburu buru nanti korang pula yang dituduh merampas kebahagiaan orang lain.Bukannya tidak pernah berlaku. Banyak kali berlaku di mana isteri orang atau suami orang berhubungan kembali dengan kekasih lama. Jadi korang perlulah selidik betul betul latar belakang bekas kekasih korang tu agar tidak timbul masalah di kemudian hari.
Selidik juga apa yang dilakukannya sekarang seperti tempat kerjanya yang baru atau sama ada dia pernah mempunyai hubungan dengan orang lain dalam tempoh perpisahan korang. Ini untuk membuktikan sama ada si dia ikhlas atau tidak mencari korang balik. Manalah tahu kot kot bekas kekasih korang itu bertukar menjadi seorang player dan mempunyai niat tertentu untuk memikat korang semula kan? Jadi siasatlah betul betul.
Mungkin juga dia pernah berkahwin dahulu semasa dalam tempoh perpisahan korang. Itu pun korang perlu ambil kira. Apabila nanti korang sudah berbuat keputusan untuk menerimanya kembali, korang harus mengambil kira tentang keluarga barunya walaupun mereka sudah bercerai. Tambah tambah pula jika bekas kekasih korang itu sekarang bergelar duda ada anak. Bersediakah korang untuk menerima kehadiran anak tiri dalam hidup korang? Bolehkah korang menerima kehidupan baru bekas kekasih korang itu? Fikirkan.
Pertimbangkan untuk berkawan dahulu
Kalau korang mahu, korang boleh bersahabat dulu dengan bekas kekasih korang tu, tidak salah pun sebenarnya. Berkawan dengannya kembali seperti biasa sama juga macam kawan kawan korang yang lain. Dari situ kalau ditakdirkan Tuhan korang akan kembali bersama, dari awal lagi sudah nampak akan timbul bibit bibit kemesraan semula. Jangan menekan sangat dengan andaian andaian tidak elok.Jangan juga menekan kepala korang dengan berfikir tentang keputusan. Jika korang perlukan masa, katakan pada dia yang korang perlukan masa. Kalau si dia betul betul ikhlas dan sanggup tunggu, dia pasti akan tunggu. Korang boleh jadi kawan sementara menunggu masa menentukan segalanya.
Dalam berkawan, mungkin korang akan terkenang balik peristiwa peristiwa dahulu. Ataupun apabila kedua duanya sudah bertambah matang dan tiada dendam di hati, korang boleh berbincang secara santai tentang perhubungan korang dahulu. Adakalanya berborak secara santai tanpa ada emosi dan dendam sangat elok untuk merungkai persoalan yang tertangguh dahulu.
Contohnya, mungkin korang tertanya tanya apa sebab sebenar perpisahan korang dahulu. Sekarang apabila masa sudah lama berlalu dan korang pun dah semakin matang, persoalan itu akan dirungkai satu persatu. Asalkan tiada dendam di hati, korang boleh duduk di satu meja dan berbincang bersama.
Cuba lupakan perkara dahulu
Apa kata korang ambil pendekatan melupakan perkara dahulu. Cuba sahaja, ini boleh menguji diri korang juga sebenarnya. Cuba melupakan perkara yang pernah berlaku antara korang dan si dia dahulu tidak semestinya bertujuan untuk membina kembali hubungan yang baru. Tetapi ia boleh menentukan tahap kematangan fikiran korang sekarang. Dulu mungkin masing masing masih muda dan remaja, jadi pemikiran itu tidak matang dan ego pun tinggi.Cubalah dahulu untuk lupakan kekecewaan yang korang alami dulu dan teruskan dengan kehidupan baru. Korang tidak akan tenang jika masih berpegang pada peristiwa lama. Si dia sudah kembali dan meminta peluang kedua. Hanya korang sahaja dapat membuat keputusan. Orang lain hanya mampu memberikan pandangan.
Adakah cinta itu masih miliknya?
Adakah cinta korang masih untuknya? Itu hanya korang yang tahu tetapi kalau korang ragu ragu, korang boleh uji diri sendiri. Contohnya seperti, apa perasaan korang ketika korang terserempak dengan si dia buat pertama kali selepas perpisahan korang? Adakah korang berasa sedih, gementar atau biasa biasa sahaja?Kalau korang masih menyimpan gambar gambar lama atau barang barang pemberiannya dahulu, ada kemungkinan korang masih menyintainya. Jika terbukti demikian, tiada salahnya peluang kedua diberikan kepada si dia. Setiap orang pernah melakukan kesalahan. Setiap orang juga berhak dapat peluang kedua.
Pertimbangkanlah untuk bersama semula jika ternyata benar korang masih mencintainya. Tiada ruginya jika korang buat demikian. Jangan khuatir akan cerita cerita lama dulu. Buang semuanya dan binalah kehidupan baru. Yang pasti, korang dan si dia sudah lebih matang berbanding dulu. Tidak ada salahnya dalam mencuba kan?